Kes HFMD meningkat di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kes HFMD meningkat di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 6 Julai – Sebanyak 1,555 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) berlaku di Pulau Pinang antara Januari hingga 4 Julai tahun ini berbanding hanya 1,050 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Dr. Afif Bahardin
AFIF

Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Afif Bahardin berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang bilangan kes itu mengalami peningkatan sebanyak 48 peratus.

Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 53 buah taska, tadika, tabika dan pra sekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka dengan peningkatan sebanyak 381 peratus berbanding hanya 11 kluster sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan ini agak membimbangkan kerana virus ini merebak dengan cepat melalui persentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis mereka yang dijangkiti dan kebiasaan jangkitan adalah demam diikuti melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

“Oleh itu orang ramai khususnya pengusaha pusat-pusat jagaan ini digesa sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta membuat saringan di premis masing-masing bagi mengelakkan mereka yang dijangkiti hadir ke sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, ibu bapa kanak-kanak yang mempunyai gejala HFMD juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam atau membenarkan mereka ke sekolah selain memastikan kebersihan semua peralatan dan alat permainan dengan bahan cucian yang sesuai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN