Kes cabul: Ahya Rosli bakal disaman - Utusan Malaysia

Kes cabul: Ahya Rosli bakal disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pelakon filem Harmonika, Ahya Rosli, 31, mengaku dirinya bakal diheret ke mahkamah setelah bekas majikan kepada bakal isterinya memfailkan tuntutan saman malu berhubung kes cabul yang terjadi di pejabat wanita terbabit.

Menurut anak kepada dramatis Normah Damanhuri itu, lelaki berkenaan difahamkan tidak berpuas hati dengan tindakan Ahya menularkan kejadian cabul yang berlaku April lalu di Menara AIA Jalan Ampang sehingga mengakibatkan lelaki tersebut dipecat.

“Ya, saya memang ada menerima notis daripada pihak peguam yang memaklumkan mengenai kes saman fitnah tersebut.

“Menurut notis itu, saya diminta hadir ke mahkamah di Jalan Duta pada Januari hadapan untuk memulakan prosedur perbicaraan,” akuinya.

Mengulas lanjut, Ahya bagaimanapun tidak gentar dengan saman yang telah difailkan dan sedia untuk dibicarakan kerana yakin dia berada di pihak yang benar.

Tegasnya, insiden dialami bakal isterinya adalah isu serius dan tidak boleh diambil mudah oleh sesiapa jua.

“Apatah lagi individu yang menjadi mangsa adalah bakal isteri saya sendiri. Takkan saya nak duduk diam?

“Tindakan saya memaklumkan mengenai kejadian itu pada laman sosial bertujuan memberi peringatan dan amaran kepada umum.

“Kebetulan setelah tular, beberapa pekerja wanita tampil menyuarakan bahawa mereka turut mengalami pengalaman serupa,” tambah pemilik nama penuh Ahya Ulumuddin Rosli itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×