Kerepek herba jana pendapatan - Utusan Malaysia

Kerepek herba jana pendapatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT 1 Julai – Memanfaatkan tumbuhan herba yang banyak terdapat di kawasan persekitarannya, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Selama memper­kenalkan produk kerepek sebagai salah satu sumber menjana pendapatannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengurus Besar PPK Selama, Mohamad Aini Ahmad berkata, antara herba yang banyak terdapat di kawasan tersebut terutama di kawasan Hulu Selama terma­suklah pokok misai kucing, pegaga dan bayam.

Tambah beliau, pokok herba tersebut yang tumbuh sejak sekian lama dan hanya dijadikan ulam-ulaman itu kini dikomersialkan sebagai makanan ringan berkhasiat.

“Seperti yang diketahui, pokok misai kucing, pegaga dan bayam masing-masing mempunyai ke­lebihan tersendiri terutama dari segi kesihatan dan perubatan.

“Ada dalam kalangan ahli-ahli PPK Selama menanam pokok herba di kawasan yang mereka usahakan kelapa sawit dan getah sebagai tanaman sampingan.

Justeru, kita nampak peluang itu dan mula mengkomersialkan menjadi kerepek herba,” katanya ketika melancarkan kerepek herba keluaran PPK Selama di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga kini kerepek herba keluaran pihaknya mendapat sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan.

Sehubungan itu, Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Perak memperuntukkan sebanyak RM­5,000 bagi menambah baik produk berkenaan antaranya membuat pelekat dan pembungkusan agar lebih menarik.

“Produk ini lain daripada yang lain kerana jarang kita dengar tentang kerepek herba. Kalau yang ada pun mungkin ubat-ubatan atau makanan tambahan.

“Selain pasaran tempatan, kerepek herba ini telah berjaya kita perluaskan pasarannya ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang selain negeri-negeri terdekat. Kita percaya dengan promosi yang lebih meluas, kerepek herba ini akan mendapat tempat di hati masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peladang Nita Kawasan Selama, Mariatul Khiftiah Abdul Rahman berkata, membuat kerepek daripada pokok herba sebenarnya telah lama dilakukan penduduk setempat, namun dilakukan secara kecil-kecilan.

Katanya hasil dorongan dan idea Mohamad Aini, produk itu dikomersialkan dengan penghasilannya dilakukan tiga hari sekali dengan lebih 100 bungkus setiap sesi.

“Ketika ini kita berjaya memperoleh sehingga RM10,000 sebulan pada hari-hari biasa dan jumlah itu meningkat pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“Pada masa sama, kita turut merancang untuk menghasilkan kerepek herba yang lain antara­nya daripada daun kunyit, kaduk, serai dan daun selom yang ba­nyak terdapat di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN