SEREMBAN 14 Julai – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedia untuk mengkaji kenaikan gaji kira-kira 14,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara tersebut wajar diberi perhatian memandangkan tanggungjawab anggota bomba semakin mencabar dan sama penting seperti anggota tentera dan polis.
“Mesti ada sedikit peningkatan dari segi kebajikan mereka yang harus diambil kira dan ia (kenaikan gaji) mungkin akan kita bincang untuk dimasukkan dalam bajet pada tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2018 peringkat kebangsaan yang dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar, Aminuddin Harun; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid.
Sementara itu, Zuraida berkata, kementerian juga bercadang menambah bajet bagi pasukan bomba sukarela dan komuniti yang menjadi pasukan pertama bertindak sekiranya berlaku bencana dan kebakaran di sesuatu kawasan.
“Kita hendak mengkaji dan menelitinya, kalau boleh kita mahu menambah bajet untuk pasukan bomba sukarela ini secara keseluruhan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, JBPM menerima sebanyak 86,982 panggilan kecemasan atau secara purata 238 panggilan sehari sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, jumlah tersebut melibatkan 29,356 panggilan kebakaran, 54,884 (penyelamatan), 2,392 (khidmat khas) dan 350 (palsu).
“Jumlah panggilan kecemasan yang diterima menurun sebanyak enam peratus berbanding 92,307 panggilan pada tahun 2016,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, pihak bomba berjaya tiba di lokasi kejadian dalam tempoh kurang daripada 20 minit bagi 83 peratus panggilan yang diterima di seluruh negara. “Bagaimanapun, sasaran bomba adalah untuk sampai ke tempat kecemasan dalam masa kurang daripada 10 minit,” katanya.
Menurutnya, kerugian dan kemusnahan harta benda akibat kebakaran pada tahun lalu berjumlah RM5.2 bilion, meningkat sebanyak 81.81 peratus berbanding RM2.8 bilion pada tahun 2016.
Ujarnya, jumlah harta benda yang berjaya diselamatkan pula meningkat sebanyak 42.29 peratus iaitu daripada RM50.9 bilion pada 2017 berbanding RM35.8 bilion pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, kira-kira 3,000 pengunjung menghadiri sambutan tersebut yang dimeriahkan dengan pertunjukan payung terjun, demonstrasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta perarakan pasukan bomba.










