KUCHING 9 Julai – Meskipun bukan sekutu, namun kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sanggup mengenepikan kepentingan politik apabila bersetuju untuk bekerjasama memajukan pembangunan infrastruktur di Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, hasil perjumpaan dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri memberi jaminan untuk menyokong segala projek pembangunan di bawah kementeriannya untuk dilaksanakan di negeri ini.
Katanya, kedua-dua pihak menyatakan kesanggupan untuk kebekerjsama dalam bidang di bawah Kementerian Kerja Raya melibatkan pembinaan kemudahan infrastruktur seperti sekolah dan hospital.
“Hasil perjumpaan dan perbincangan yang diadakan, kami bersedia mewujudkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam bidang di bawah kementerian saya di Sarawak.
“Saya maklumkan kepada Ketua Menteri bahawa keperluan infrastruktur ini menjadi perhatian rakyat dan beliau sendiri tahu bahawa isu sama turut diberi perhatian oleh saya dan rakan-rakan daripada Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak berkata, pertemuan selama kira-kira 30 minit dengan Ketua Menteri berlangsung dalam suasana baik dan beliau gembira dengan jaminan kerjasama yang diberikan oleh Abang Johari bagi pihak kerajaan negeri.
Beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengabaikan kepentingan politik demi pembangunan negeri dan kepentingan rakyat.










