KUALA TERENGGANU 27 Julai – Pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung pembayaran 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan bersih disifatkan mengkhianati rakyat di dua negeri pengeluar minyak di Pantai Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw berkata, lebih menyedihkan apabila pembayaran itu didakwa lebih rendah berbanding jumlah yang dibayar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebanyak lima peratus sebelum ini.
![]() |
|
Toh Chin Yaw
|
Katanya, tindakan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah skim penipuan yang cuba menarik perhatian mangsa dengan hadiah-hadiah lumayan, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.
“Sebelum ini PH menguar-uarkan yang mereka akan meningkatkan kadar bayaran royalti, tetapi selepas membentuk kerajaan baharu, PH memberi alasan pembayaran itu adalah berdasarkan keuntungan bersih. Ini bukan apa yang dijanjikan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Mengikut mekanisme pengiraan baharu, adakah ini bermakna bahawa jika harga petroleum dunia jatuh, maka negeri-negeri Pantai Timur tidak akan menerima sesen pun? Tidakkah penduduk negeri berkenaan akan menjadi mangsa?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat memberitahu pemberian royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak tidak dapat disalurkan segera kerana Akta Pembangunan Petroleum 1974 perlu dipinda terlebih dahulu.
Malah Azmin dilaporkan berkata, jika Petronas meningkatkan pembayaran kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar kepada negeri pengeluar minyak, ini akan memberi implikasi serius terhadap kewangan Petronas dan Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Chin Yaw menggesa Kerajaan Persekutuan agar menunaikan janji mereka kerana bayaran royalti minyak merupakan sumber pendapatan negeri yang penting bagi dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.- UTUSAN ONLINE











