KUALA TERENGGANU 17 Julai – Kerajaan Pas yakin Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menjadi model polisi dan pentabiran jangka panjang sebagai realistik bagi menterjemahkannya dan dapat diterima rakyat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, kepemimpinannya akan berusaha memberikan sepenuh komitmen bersama jentera pentadbiran untuk menjayakannya, sekali gus membezakannya dengan kepemimpinan terdahulu dan di negeri lain, malah diharap dapat dijadikan contoh.
Beliau tidak mahu segala dasar dan perancangan hanya dilihat cantik dan enak didengar oleh rakyat namun tidak dari segi terjemahan pelaksanaan walaupun bukan mudah.
“Tiada negeri yang mengutarakan perancangan yang tidak baik negeri dan rakyat, tetapi yang membezakan sama ada (sesuatu kerajaan) bagus atau tidak ialah dari segi pelaksanaannya.
“Jika tidak berlaku ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan ketegangan (suasana politik), melalui komitmen, kita akan dapat membina (gagasan) Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Ucap Negeri Terengganu Tahun 2018, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim dan barisan kepemimpinan negeri.
PITAS dirangka berteraskan tiga dasar, tujuh prinsip, sembilan strategi, lima bidang utama, sepuluh program induk, enam sasaran dan tiga teras pelaksanaan bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.
Tujuh prinsip yang terkandung dalam PITAS 2030 termasuklah pematuhan kepada prinsip Islam; insan berkualiti aset terpenting negeri; kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat; pembangunan sosial dan ekonomi adalah tanggungjawab kerajaan negeri dan rakyat; pembangunan lestari yang mencakupi tiga elemen utamanya, alam sekitar, masyarakat dan ekonomi yang berteraskan Islam.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, bagi mencorak pembangunan lebih terancang dan memberikan faedah meluas kepada rakyat, masa untuk melaksanakan perkara-perkara ini tidak cukup dalam lima tahun dan sebab itulah sasarannya tahun 2030 merupakan tempoh yang realistik.
Terdahulu, ketika menyentuh pendekatan politik matang dan sejahtera yang dilihat oleh sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak bertegas terhadap kalangan tidak sehaluan, beliau menjelaskan pendekatan yang diambil untuk mengurangkan ketegangan dalam kehidupan rakyat kerana politik.
“Sebagai contoh, bila kerajaan baharu naik, mula menghukum rakyat pihak lain, putaran itu akan berterusan (apabila kerajaan bertukar lagi). Apa juga perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat yang berhak tidak harus dinafikan walau fahaman politik mereka berbeza,” ujar beliau.
Katanya, gejala orang politik yang bermusuhan sehingga turut mempengaruhi rakyat sekian lama perlu dihentikan, dan di sinilah kepemimpinan menyediakan arah tuju baharu bagi mencorak suasana agar rakyat berada dalam kehidupan lebih sejatera. – UTUSAN ONLINE










