TUARAN 17 Julai – Peranan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat daerah akan diperkasakan bagi membolehkan mereka membuat kata putus dalam soal merancang pembangunan daerah dengan lebih cepat dan berkesan tanpa perlu dibincangkan di peringkat kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan bercadang mewujudkan perjawatan yang memberi kuasa kepada pegawai di peringkat daerah untuk membuat keputusan.
“Sekarang ini masih ada kuasa-kuasa tertentu yang perlu dirujuk di peringkat kementerian sedangkan PBT boleh buat keputusan contohnya kuasa merancang pembangunan bandar dan menarik pelaburan.
“Oleh itu, cadangan ada supaya perjawatan khusus diwujudkan agar keputusan-keputusan dibuat di peringkat bawah kerana pegawai-pegawai di situ lebih mengetahui dan lebih berkesan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat pembangunan daripada pegawai Majlis Daerah Tuaran (MDT) di sini pagi ini.
Menurut Jaujan, cadangan berkenaan dibuat kerana daerah seperti Tuaran yang terletak bersempadan dengan Kota Kinabalu perlu dibangunkan dengan lebih pantas demi manfaat penduduk.
Sepanjang taklimat hampir dua jam itu, Jaujan turut memberi galakan kepada kakitangan MDT agar berusaha mencari dan mempelbagaikan sumber pendapatan daerah termasuk daripada sektor pelancongan yang terkenal di daerah itu.
Dalam pada itu, beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan projek-projek perumahan terutama kepada rakyat di Tamparuli dan Kiulu bagi memastikan keseimbangan pembangunan dirasai masyarakat secara sama rata di bandar dan pedalaman. – UTUSAN ONLINE










