KOTA KINABALU 15 Julai – Kerajaan negeri optimis untuk menubuhkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) bagi meningkatkan jumlah pengeluaran padi di negeri ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Junz Wong berkata, bagaimanapun perkara itu akan dikaji semula bagi memperincikan peranan lembaga tersebut khususnya keupayaan memajukan kembali industri makanan ruji itu.
Sehubungan itu, menurutnya, satu jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi melihat dan menilai kepentingan penubuhan semula agensi itu daripada semua aspek.
“Saya bersetuju bahawa pembentukan semula LPS yang dibubarkan pada tahun 1981 merupakan komponen penting dalam pembangunan luar bandar serta menaikkan kesejahteraan rakyat khususnya petani padi.
“Tetapi kementerian juga komited untuk mengkaji punca dan sebab kenapa LPS dibubarkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan rekod sebelum pembubaran LPS, Sabah mencapai pengeluaran besar sebanyak 70 peratus berbanding pengeluaran kini hanya sekitar 26 peratus sahaja.
Mengulas lanjut, Junz berkata, penubuhan semula LPS bergantung kepada beberapa aspek penting termasuk aspek pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan import beras.
“Selain aspek itu, sistem saliran turut memainkan peranan penting dalam menjayakan industri ini dan kita perlu memperbaharui dan menaik taraf sistem pengairan sedia ada jika LPS ditubuhkan kelak.
“Kita juga perlu melihat teknologi baharu yang lebih terkini bagi tujuan pengeluaran beras seperti ‘System Of Rice Intensification’ yang banyak dilakukan di Indonesia,” jelasnya.
Kawasan tumpuan penanaman padi di negeri ini meliputi kawasan Tuaran, Kota Belud, Kota Marudu, Papar, Tambunan dan Keningau selain kawasan lain yang berpotensi boleh dibangunkan iaitu di Sook, Terusan Sapi dan Kinabatangan. – UTUSAN ONLINE










