Kerajaan mesti tolak UEC - Utusan Malaysia

Kerajaan mesti tolak UEC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak kerajaan menolak pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan kelayakan sijil itu untuk digunakan bagi permohonan masuk ke universiti awam dan sektor perjawatan awam.

PUTRAJAYA 21 Jun 2015Interview Presiden Persatuan Penduduk Presint
Datuk Sirajuddin Salleh

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, pihaknya akan tetap menolak pengiktirafan terhadap UEC yang jelas mencairkan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Perlu diingatkan bahawa isu UEC telah berlarutan sekian lama dan menimbulkan kemarahan rakyat yang cintakan perpaduan dan kedamaian. Kenyataan Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) yang menuntut Menteri Pendidikan menolak UEC dalam tempoh tujuh hari hendaklah dipandang serius.

“Kerajaan harus mengelak bantahan besar-besaran rakyat terhadap UEC yang didokong Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong). Masanya sudah tiba untuk kerajaan mengendali isu ini dengan menolak sepenuhnya UEC dan menimbangkan pengharaman Dong Zong yang menjadi punca kepada masaalah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek berkata, sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik dengan tidak menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN