Kerajaan komited teruskan Pelan Tindakan Kanser 2016-2020 - Utusan Malaysia

Kerajaan komited teruskan Pelan Tindakan Kanser 2016-2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kerajaan akan terus komited dan memberi perhatian kepada strategi dan aktiviti yang telah dirancang dalam Pelan Tindakan Kanser 2016-2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pencegahan kanser dari segi pemberian pelalian, amalan gaya hidup sihat serta pengesanan awal kanser merupakan aspek yang akan terus diberi fokus utama.

Katanya, pengurusan lanjut susulan daripada aktiviti pencegahan dan pengesanan awal pula akan tetap diberi penekanan misalnya dalam aspek kuratif dan rawatan susulan.

“Contohnya, sehingga Jun 2018, sebanyak 325,830 orang wanita telah menerima vaksinasi Human Papillomavirus (HPV) secara percuma melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melalui program khas yang dijalankan sejak tahun 2012.

“Program ini merupakan satu inisiatif dalam usaha untuk mencegah jangkitan HPV yang menyebabkan kanser servik dalam kalangan wanita. Kerajaan melalui agensi-agensinya akan terus giat menjayakan perjuangan ke arah membebaskan masyarakat daripada cengkaman penyakit kanser,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan kempen War-On-Cancer Malaysia, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN