JOHOR BAHRU – Kerajaan komited untuk melaksanakan projek Sistem Rapid Transit (RTS) dengan kertas memorandum projek yang menghubungkan Bukit Chagar di sini dan Woodlands North di Singapura akan dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dari segi prinsip, Kabinet telah meluluskan projek RTS tetapi pelaksanaan dari segi kos dan maklumat terperinci projek tersebut perlu mendapat kelulusan daripada Kabinet terlebih dahulu.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai ujian pemandu kenderaan, ‘e-testing’ di Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd., Taman Perling di sini hari ini, beliau berkata, langkah pertama yang akan dilakukan selepas mendapat kelulusan berkenaan adalah menubuhkan sebuah syarikat usaha sama antara Malaysia dan Singapura bagi melancarkan pelaksanaan projek itu.
Beliau berkata, projek tersebut tetap akan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat walaupun berlaku sedikit kelewatan disebabkan oleh pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kita tidak lari jauh daripada jadual yang telah ditetapkan sebelum ini, memang ketika ini ada kelewatan satu, dua bulan selepas PRU14 tetapi kita berharap ia dapat dilaksanakan seperti biasa. – Bernama










