PUTRAJAYA 15 Julai – Kementerian Pendidikan menegaskan sebarang keputusan yang bakal diambil berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) akan bersifat komprehensif dan holistik tanpa menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjelaskan, pihaknya perlu mengambil kira kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafannya yang mungkin akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia.
Katanya, pandangan daripada pelbagai pihak adalah amat penting dan interaksi Kementerian bersama pihak-pihak yang berkenaan tetap menjadi keutamaan beliau.
“Berkenaan isu UEC, saya ingin tekankan di sini bahawa seperti mana yang telah saya sebut sebelum ini, Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian holistik sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan sijil ini.
“Pengiktirafan UEC adalah salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan dan sebelum diiktiraf, kita perlu mengambil kira isu kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jika ada sebarang impak daripada keputusan pengiktirafan tersebut yang mungkin akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










