PARIS – Juara Piala Dunia 2018, Perancis yang pulang ke tanah air telah disambut meriah oleh ratusan ribu rakyat negara tersebut.
Selepas melakarkan kemenangan 4-2 ke atas Croatia pada aksi final di Rusia, pasukan bimbingan Didier Deschamps itu menerima sambutan wira daripada penyokong-penyokong Les Bleus di Paris.
Barisan pemain kebangsaan Perancis mempamerkan trofi Piala Dunia yang menjadi kebanggaan mereka kepada rakyat negara tersebut sambil diiringi sorakan ‘Juara Dunia’ daripada penyokong-penyokong Les Bleus.
“Ia sukar untuk dipercayai. Trofi Piala Dunia benar-benar menawan dan kejayaan Perancis juga cukup indah,” kata Julia Cohen, 28, selepas menyaksikan perarakan pasukan kebangsaan Perancis di Paris semalam.
Perarakan itu melibatkan 2,000 anggota polis yang mengawal rapi keselamatan penyokong-penyokong yang dianggarkan berjumlah 300,000 orang yang tampil memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka.
Selain itu, sembilan jet dari Patrouille de France turut membuat persembahan aerobatik dengan mengeluarkan asap berwarna biru, putih dan merah sebagai tanda penghormatan bendera negara mereka. – AFP










