KANGAR 23 Julai – Pas mendesak DAP supaya bersuara dalam isu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, DAP perlu tampil membersihkan nama Ramasamy jika beliau tidak terlibat dalam aktiviti keganasan itu dan bukannya mengambil sikap membisu.
“DAP kena sensitif dalam isu ini. Sebelum ini mereka (DAP) label individu ini, individu itu pengganas, apabila kena batang hidup sendiri, mereka pandai pula diam.
“DAP perlu lebih terbuka untuk turut sama meminta pihak polis siasat perkara tersebut,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kontroversi melibatkan Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP tercetus apabila sekeping gambar memaparkan beliau mengambil bahagian dalam mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tular dalam media sosial.
Walau bagaimanapun, Ramasamy menafikan mempunyai kaitan dengan LTTE apabila mengatakan beliau hanya dijemput untuk menjadi perunding damai antara kerajaan Sri Lanka dengan pertubuhan berkenaan semasa menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Khamis lalu, pihak polis mengesahkan telah menerima sebanyak 53 laporan polis berhubung dakwaan mengaitkan Ramasamy dengan LTTE.
Sementara itu, Mohd. Shukri turut menggesa pihak polis mengambil tindakan dalam isu tersebut yang boleh membuatkan masyarakat berada dalam keadaan tidak selamat.
“Hal ini penting kerana terdapat bukti jelas mengenai pembabitan Ramasamy dalam aktiviti itu (LTTE). Kita harap polis membuat siasatan dan mengambil tindakan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE










