KOTA BHARU 28 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan perjumpaan bersama semua exco berkaitan dari seluruh negeri berhubung penetapan had kahwin bawah umur.
Timbalan Menterinya , Hannah Yeoh berkata, perkara itu bukan masalah yang berlaku di Kelantan sahaja malah melibatkan perkahwinan adat di Sarawak.
Jelas beliau, berdasarkan statistik terkini Jabatan Kebajikan dan Masyarakat dari 2007 hingga 2017 juga menunjukkan perkahwinan itu berlaku dalam kalangan orang Islam serta bukan Islam di seluruh negara.
“Berdasarkan statistik dalam tempoh 10 tahun itu menunjukkan perkahwinan bawah umur dalam kalangan orang Islam mencecah sebanyak 10, 000 kes manakala seramai 4, 999 orang melibatkan bukan Islam di seluruh negara.
“Berkaitan kes yang berlaku di negeri ini baru-baru ini, perkara itu masih dalam siasatan dan keputusannya akan diumumkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa sidang Parlimen minggu depan.
“Kementerian juga akan mengadakan perjumpaan bersama semua Exco Wanita dari seluruh negeri supaya had umur itu dapat diselaraskan dan tidak berbeza-beza di setiap negeri serta isu penyelarasan bantuan kebajikan yang akan dibincangkan bersama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival dan Pelancaran Logo Baharu Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengasas Yokuk, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim dan Pengerusinya, Datin Suliana Shamsuddin Alias.-UTUSAN ONLINE










