Kemenangan dalam ‘perlumbaan’ jadi kepuasan - Utusan Malaysia

Kemenangan dalam ‘perlumbaan’ jadi kepuasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELAJUAN dan berlumba menjadi ketagihan. Itulah pengakuan seorang remaja berasal dari Perak yang sering terlibat dengan aktiviti lumba haram di sekitar ibu kota sejak dua tahun lalu.

Pemuda berusia 20 tahun itu memaklumkan, kemenangan dalam sesuatu perlumbaan menjanjikan seribu kepuasan kepada dirinya lebih-lebih lagi jentera empat lejang ‘tua’ miliknya mampu mengalahkan motosikal lebih moden dan berkuasa seperti Yamaha 125ZR dan RXZ dengan begitu mudah.

Jelasnya, hanya menggunakan motosikal jenis Honda C70 berusia lebih 40 tahun yang telah diubahsuai dan digantikan dengan enjin jenis Lifan dengan sesaran 150cc berharga kurang daripada RM2,000 yang dibeli dari Thailand mampu mengalahkan model motosikal berkuasa dua lejang terkini.

“Perlumbaan disertai sekitar Cheras, Kajang serta Putrajaya sebelum ini hanyalah untuk melihat keupayaan luar biasa yang dimiliki motosikalnya.

“Setiap minggu akan ada ‘acara pembukaan’ iaitu perlumbaan sekadar ‘suka-suka’ tanpa melibatkan wang ringgit sebagai pertaruhan dianjurkan oleh beberapa kumpulan mat rempit. Jadi, itulah masa sesuai untuk saya ‘menguji’ kekuatan motosikal berkenaan,” ujarnya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Namun, pemuda itu memberitahu, dia sudah membelanjakan hampir RM8,000 untuk menambahkan kelajuan serta aksesori bagi mencantikkan jenteranya.

Mengulas berhubung aktiviti lumba haram yang ‘digilai’ mat rempit, dia bagaimanapun tidak menafikan bahawa ada mat rempit yang aktif dalam perlumbaan berkumpulan semata-mata ingin merebut wang pertaruhan dan habuan-habuan lain.

“Mereka selalunya menjadikan wang pertaruhan yang dimenangi sebagai modal untuk mengubahsuai enjin motosikal.

“Nilai wang pertaruhan yang dimenangi mereka pula tidak menentu. Ada yang lumayan dan ada yang tidak sampai RM3,000. Wang pertaruhan tersebut ditentukan oleh ‘kepala’ yang menganjurkan perlumbaan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, antara faktor yang membuatkan ramai yang menjadi mat rempit adalah kerana mereka mempunyai banyak masa terluang selain cabaran, risiko serta kemenangan yang sebenarnya memberikan kepuasan dan keseronokan kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN