IPOH 17 Julai – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semua pihak tidak harus ditinggalkan dalam proses menjadikan Malaysia ke arah kematangan demokrasi setanding negara lain.
Baginda bertitah, ini termasuk mereka yang mungkin tidak sehaluan walaupun usaha untuk merealisasikannya bakal berdepan keperitan sukar selepas Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14).
Titah baginda, amalan tidak sihat dipraktikkan oleh negara tertentu yang mana ‘pemenangnya memonopoli semua’, harus dielakkan sebaliknya ia memerlukan tajdid atau pembaharuan dan islah iaitu perubahan kepada kebaikan bagi menambah baik serta memberikan nafas baharu kepada insititusi di negara ini.
“Beta berharap rakyat Malaysia merasa berkuasa untuk menentukan serta mempengaruhi masa depan negara. Seperti yang beta tekankan lebih sedekad lalu, rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan kedudukan geografi perlu percaya dan tidak meragui bahawa setiap daripada mereka mempunyai tempat di
negara ini.
“Setiap seorang rakyat di Malaysia harus terlibat dan kita harus beringat untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam perjalanan bersejarah ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) Kali Ke-5 2018 anjuran kerajaan negeri menerusi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Casuarina@Meru di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan negeri, Dr. Abdul Aziz Bari serta Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi. – UTUSAN ONLINE










