Kemalangan sektor 3D penyumbang utama kes kematian tempat kerja - Utusan Malaysia

Kemalangan sektor 3D penyumbang utama kes kematian tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 Julai – Kema­langan yang berlaku dalam sektor pekerjaan yang berbahaya, kotor dan sukar (3D) terutama­nya di tapak pembinaan me­nyumbang kepada sebahagian besar kes kematian di tempat kerja di negeri ini sepanjang Januari hingga Jun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri, Ir. Saiful Azhar Mohd. Said berkata, sebanyak 16 daripada 26 kes kematian maut dilaporkan berlaku di tapak pembinaan.

“Antara punca kemalangan hingga menyebabkan kematian pekerja ini adalah disebabkan terjatuh dari tempat tinggi dan tersepit dalam jentera yang dikendalikan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Faktor kemalangan berla­ku termasuk kerana kegagalan pemaju dan majikan memastikan tahap keselamatan di tempat kerja hingga mendedahkan para pekerja kepada risiko kema­langan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengha­diri program ‘Workplace Accident Free Week’ peringkat negeri yang diadakan sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Dr. S. Rama­krishnan.

Dalam perkembangan lain, Saiful Azhar memberitahu, pi­haknya telah menjalankan seba­nyak 20,703 pemeriksaan ke atas tempat kerja dan jentera di negeri ini bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Berdasarkan jumlah tersebut, JKKP Johor telah mengeluarkan sebanyak 1,163 surat arahan, 1,199 notis dan 73 kesalahan kompaun serta sebanyak 38 kes didakwa atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Majikan dan pekerja perlu menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja bagi menurunkan kadar kema­langan pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu membantu untuk meningkatkan produktivi organisasi dan melahirkan generasi pekerja yang selamat dan sihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×