KOTA BHARU 14 Julai – Nasib Kelantan untuk terus kekal dalam saingan Liga Super 2018 umpama telur dihujung tanduk apabila sekadar seri 1-1 Melaka United di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan peluang Kelantan makin tertutup selepas PKNP melakar kemenagan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.
Skuad bimbingan Yusri Che Lah bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi Shafiq Shahrudin mempamerkan selepas sepakan lencongnya berjaya mengelirukan penjaga gawang Melaka United Khairul Fahmi Che Mat.
Pelawat cuba bangkit selepas itu menerusi beberapa gerak-gerak menarik mudah dipatahkan oleh corak bertahan yang dimaikan oleh The Red Warriors (TRW) pada perlawanan tersebut.
Masuk babak kedua, Melaka United cuba bangkit dengan membawa masuk Yahor Zubovich namun usaha itu gagal membelah kubu tuan rumah yang diketuai Casio De Jesus.
Tuan rumah, hampir menambah jaringan pada minit ke-72, bagaimanapun rembatan kencang pemain gantian Nik Azli Nik Alias terus kedakapan Khairul Fahmi sekaligus menyelamatkan gawang Melaka United daripada ditembusi buat kali kedua.
Kelantan terus kempunan untuk menambah jaringan selepas peluang terhidang yang dimiliki oleh Cristano Santos gagal dimanfaatkan oleh pemain biarpun Khairul Fahmi sudahpun tertewas ketika itu.
Ketika Kelantan berkira-kira untuk merayakan kejayaan meraih tiga mata, pelawat mendapat sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain tuan rumah pada masa tambahan.
Zubovich yang ditugaskan mengambil sepakan itu tenang memilih sudut sebelah kiri untuk menewaskan Mohd. Shahrizan Ismail. -UTUSAN ONLINE.










