PASIR PUTEH 22 Julai – Kontinjen Polis Kelantan menaruh harapan kepada 17 wakilnya untuk mencipta kejayaan dalam Kejohanan Boling Piala Ketua Polis Negara di Johor Bahru.
Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, kejohanan tahunan yang akan berlangsung pada 24 sehingga 27 Julai ini perlu dijadikan medan untuk menyerlahkan keupayaan dan kekuatan pasukan itu dalam sukan bowling.
“Saya ingin melihat kejayaan dalam keseluruhan kategori meningkat terutama dalam kalangan peserta lelaki.
“Kekuatan fizikal dan mental perlu dimanfaatkan untuk memastikan kemenangan di Diamond Bowl Johor Bahru dibawa pulang ke Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen dan jersi pasukan kepada Pasukan Boling Kelantan di Dewan Terbuka PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad.
Pasukan Boling Kontinjen Polis Kelantan diwakili oleh anggota pelbagai pangkat diketuai Deputi Superintendan Sheikh Abd. Kadar Sheikh Muhammad.-UTUSAN ONLINE










