KOTA BHARU 25 Julai – Kerajaan Pas Kelantan mahu terus menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan walaupun tampuk pemerintahan negara telah bertukar tangan.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, di bawah semangat federalisme, pihaknya bersedia menjalinkan hubungan baik dengan sesiapa sahaja yang mentadbir negara demi kebaikan rakyat.
Sehubungan itu, jelas beliau, adalah menjadi satu kelaziman untuk kerajaan negeri mengadakan kunjungan hormat ke atas Kerajaan Persekutuan selepas berakhirnya sesebuah Pilihan Raya Umum (PRU).
“Begitu juga selepas PRU-14 baru-baru ini, kita mengunjungi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menyatakan perkara sama dan hak serta kewajipan Pusat terhadap negeri ini.
“Dalam pertemuan itu, kita nyatakan perkara-perkara tersirat bagi memastikan hak-hak rakyat Kelantan terus terbela terutama dalam perkara yang sudah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Insya-Allah hubungan ini dapat diwujudkan dengan sebaik-baiknya ditambah dengan kewujudan pelbagai jabatan bersama,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin mengetahui sejauh mana hubungan baik kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat selepas berlaku perubahan pucuk pimpinan pada PRU-14.
Menjawab soalan tambahan Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) antara Perdana Menteri ketujuh dengan keempat (Tun Dr. Mahathir Mohamad) siapa lebih baik, Ahmad secara ringkas menjawab; “Yang bertanya lebih tahu tahu daripada saya”. – UTUSAN ONLINE










