ALOR SETAR 25 Julai – Beberapa penambahbaikan perlu dibuat bagi memastikan kalangan Ahli Parlimen tidak memandang mudah soal kehadiran ke Dewan Rakyat sehingga memaksa penangguhan sidang seperti yang berlaku selepas waktu rehat semalam.
Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, apa yang berlaku itu merupakan sesuatu yang menyedihkan ketika jadual sidang Dewan Rakyat sudah pun diumumkan lebih awal secara bertulis kepada setiap ahli Parlimen.
“Antara penambahbaikan yang boleh dibuat adalah mendedahkan kehadiran setiap 222 orang ahli Parlimen setiap kali habis penggal. Pendedahan itu tidak hanya bersandarkan kepada jumlah hari malah sidang dan dan sesi yang dihadiri.
“Selain itu, setiap ahli Parlimen yang gagal mencapai 80 peratus kehadiran perlu mempersembahkan surat tunjuk sebab kepada Yang di-Pertuan Agong. Selaku individu yang mengetuai Parlimen, baginda berhak memanggil dan menasihati mereka yang tidak berdisiplin itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, menteri dan timbalan menteri juga perlu bergilir-gilir berada dalam Dewan Rakyat bagi memastikan kementerian mereka sentiasa mempunyai wakil di Parlimen.
“Selain itu, Parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin perlu diberi kuasa untuk menghalang mana-mana wakil rakyat yang gagal mencapai kehadiran 80 peratus daripada bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) seterusnya kerana gagal membawa suara rakyat yang memberi kepercayaan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah sikap segelintir wakil rakyat yang hanya datang untuk seketika tanpa mengikuti perbahasan penuh.
“Masa mereka ini kadang-kadang lebih banyak dihabiskan di kafe Parlimen berbanding di Dewan Rakyat. Ada pula yang datang pada waktu pagi, hilang di tengah-tengah dan kembali pula pada waktu petang tanpa ada alasan munasabah sedangkan elaun mereka dibayar untuk sehari.
“Perubahan drastik perlu dilakukan sekarang kerana kita masih di awal penggal Parlimen. Harus diingat, mereka ini diberi tanggungjawab bagi berkhidmat untuk rakyat dan jika rasa tidak mampu untuk berbuat demikian, sila berikan laluan kepada oranglain yang sanggup melakukannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










