SHAH ALAM – Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zawawi Ahmad Mughni menegaskan kehadiran Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis sudah dirancang lebih awal dan bukannya dibuat pada saat-saat akhir.
Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh itu turut menegaskan, kedatangan Anwar bersama barisan pemimpin Pakatan Harapan bukan disebabkan rasa tergugat dengan sokongan terbuka Pas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.
Anwar dijadualkan turun ke DUN Sungai Kandis untuk membantu kempen Mohd. Zawawi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zawawi selama tiga hari bermula Rabu ini.
“Masa Datuk Seri Anwar berada di Malaysia ialah selepas 31 Julai (hari ini), justeru kita meletakkan tarikh tersebut sesuai dengan keberadaan dia di sini. Ia bukan soal tergugat (sokongan terbuka Pas) tetapi jadual masa yang ketat.
“Malah, kehadiran Anwar di Sungai Kandis juga memang ada dalam perancangan awal tetapi disebabkan beliau masih diperingkat pemulihan jadi tarikh itu sahaja masa yang ada untuk kempen bersama,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR DUN Sungai Kandis di sini hari ini.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K.Murthy.
Ia diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. – K! ONLINE










