KUALA LUMPUR 29 Julai – Seramai 19 orang termasuk seorang rakyat Malaysia yang meninggal dunia akan dibantu oleh Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta untuk dibawa pulang ke tanah air.
Pejabat kedutaan itu dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah berhubung dengan syarikat penerbangan untuk membantu rakyat Malaysia yang selamat dan sihat.
“Pegawai-pegawai Kedutaan dijangka akan tiba di Lombok pada 30 Julai 2018 untuk menyelaras dan membantu rakyat Malaysia sewajarnya.
“Setakat ini, enam orang mengalami kecederaan dan dua daripadanya dilaporkan parah dan kesemua mereka kini menerima rawatan di Hospital Selong, di Timur Lombok,” katanya.
Dalam kenyataan sama sehingga pukul 4.00 petang, pejabat kedutaan besar juga memaklumkan mangsa yang berada di Senaru, Lombok Utara kini sedang dibawa menuju ke Senggigi di Barat Lombok dan kesemua mereka dilaporkan selamat.
Walau bagaimanapun, masih ada rakyat Malaysia berada di Lombok tetapi gagal dihubungi buat masa ini.
Justeru, Kedutaan Besar Malaysia menyeru rakyat yang berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular agar menghubungi pihaknya menerusi emel [email protected]/ [email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (Whatsapp). – UTUSAN ONLINE










