KUALA LUMPUR 18 Julai – Negeri Sembilan kembali menghidupkan peluang mereka untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan apabila berjaya menewaskan Selangor 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Di atas kertas skuad Hobin Jang Hobin boleh kekal dalam saingan Liga Super namun realitinya sukar kerana walaupun dipisahkan enam mata daripada zon penyingkiran namun jurang perbezaan gol yang banyak dengan Kuala Lumpur dan Selangor menyukarkan keadaan memandangkan aksi liga berbaki dua perlawanan.
Ketika ini Negeri Sembilan berada di tangga ke-11 mengutip 15 mata ketinggalan enam mata di belakang Kuala Lumpur dan Selangor yang masing-masing menduduki di kedudukan ke-10 dan kesembilan.
Dalam pada itu, Perak mengukuhkan kedudukan di tangga kedua apabila membelasah Kuala Lumpur 5-1 di Stadium Kuala Lumpur manakala Pahang yang sebelum ini berada di tempat ketiga turun satu anak tangga selepas terikat 2-2 menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat.
PKNS FC pula naik ke tangga ketiga apabila menang 1-0 ke atas PKNP FC di Stadium Perak.
Dalam saingan Liga Perdana menyaksikan hajat Felcra FC untuk meletakkan sebelah kaki ke saingan Liga Super musim depan tidak kesampaian apabila tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Shah Alam.
Sabah pula seri tanpa jaringan menentang Pulau Pinang di Stadium Likas manakala UiTM FC menewaskan PDRM 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam. – UTUSAN ONLINE










