KUALA LUMPUR 16 Julai – Sebuah kedai perabot musnah terbakar dalam kejadian di Pekan Baru Subang dekat sini awal pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu melibatkan keseluruhan premis berkenaan serta bilik pameran kedai tersebut.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.46 pagi dan sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Sungai Buloh dan BBP Subang Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik pasukan penyelamat tiba, kita mendapati api marak dan membakar keseluruhan bangunan serta barangan di dalamnya.
“Operasi memadam kebakaran dilakukan menggunakan tiga aliran hos di bahagian belakang dan hadapan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, tiada sebarang kemalangan jiwa serta kecederaan dilaporkan.- UTUSAN ONLINE










