KUALA LUMPUR 16 Julai – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan tidak memberi ruang kepada pembangkang untuk berhujah mengenai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

Hishammuddin bagaimanapun berharap segala dasar perancangan kerajaan dibentangkan di Dewan Rakyat harus dibahaskan secara telus.
“Keyakinan kepada ekonomi negara mesti dipulihkan, keselamatan negara mesti terjamin, pendidikan mesti terancang dan tersusun, agama dan rakyat harus dihormati.
“Jadi banyak perkara yang perlu dibincangkan dan lihat ke hadapan. Itu yang penting bagi saya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas mengenai tindakan protes pembangkang terhadap prosedur pelantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.










