LONDON – Kem England kini berhempas pulas bagi memastikan kapten mereka, Harry Kane sempat cergas bagi pertemuan suku akhir Piala Dunia 2018 FIFA dengan Sweden, Sabtu ini.
Kane mengalami kecederaan betis ketika membantu England menang 4-3 menerusi penalti ke atas Colombia pada aksi pusingan 15 terbaik Selasa lalu.
Bintang Tottenham Hotspur yang menyumbang enam gol buat pasukannya itu dirawat oleh pegawai perubatan England dan dijangka sempat pulih untuk perlawanan berdepan Sweden dua hari lagi.
“Kamu tidak akan tahu apa impaknya apabila mengalami kekejangan, sama ada ia hanya masalah biasa atau kecederaan yang lebih teruk.
“Kami akan terus mengawasi keadaannya dan akan menentukannya kemudian,” jelas jurulatih The Three Lions, Gareth Southgate.
Bagaimanapun, England masih dilanda masalah besar berkenaan kecergasan seorang lagi penyerang mereka, Jamie Vardy yang mengalami kecederaan pangkal peha ketika menentang Colombia.
Penyerang Leicester City itu terpaksa menerima suntikan sebaik sahaja perlawanan tersebut tamat bagi mengurangkan kesakitannya, namun peluangnya dilihat tipis untuk pulih sebelum Sabtu ini.
Ashley Young turut dipantau keadaanya selepas menerima rawatan akibat kesakitan pada buku lalinya yang menyaksikan dia terpaksa dikeluarkan pada masa tambahan.
Skuad England pastinya berharap dia boleh diturunkan, namun mereka masih memiliki Danny Rose sebagai pengganti jika diperlukan.
Kyle Walker turut mengalami kekejangan Selasa lalu, namun dijangka sempat cergas begitu juga dengan Dele Alli yang tidak mengalami kesan sampingan di pehanya selepas kecederaan tersebut menyebabkan dia direhatkan dalam dua perlawanan menentang Panama dan Belgium. – Agensi










