Kebakaran hutan ancam Greece - Utusan Malaysia

Kebakaran hutan ancam Greece

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS, Greece – Sekurang-kurang­nya 60 orang maut dan lebih 150 ce­dera dalam kebakaran yang memusnahkan hutan dan perkampungan di sekitar ibu negara Greece, Athens semalam.

Pihak berkuasa kini berusaha untuk memin­dahkan sejumlah penduduk dan pelancong yang terperangkap di kawasan pantai.

Jurucakap kerajaan, Dimitris Tzanakopoulos berkata, sebahagian besar mayat mangsa ditemui di dalam kediaman atau kereta mereka di resort tepi pantai Mati, 40 kilo­meter ke timur laut Athens.

“Lebih 11 orang cedera parah,” tambahnya.

Pihak berkuasa pelabuhan memberitahu agensi berita AFP bahawa empat mayat ditemui di laut termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

Mereka dipercayai me­nemui ajal ketika cuba menyelamatkan diri.

Menjelang subuh semalam, api masih marak di sekitar ibu kota Greece, manakala sebilangan lagi kebakaran hutan bermula pada waktu malam.

“Sebanyak 15 kebakaran bermula serentak di tiga kawasan berlainan di ­Athens,” kata Tzanakopoulos.

Menurutnya, kebakaran terburuk dalam tempoh lebih satu dekad itu mendorong Greece meminta bantuan dron dari Amerika Syarikat untuk mengesan sebarang ‘aktiviti yang mencurigakan’.

Dalam perkemba­ngan berkaitan, kerajaan Greece mengerahkan sembilan bot peronda pantai, sejumlah helikopter dan dua kapal tentera dengan dibantu berpuluh-puluh bot persendirian untuk memindahkan mereka yang terperangkap di pelabuhan Rafina, salah satu kawasan paling teruk terjejas dan terletak dekat Mati.

Mangsa yang diselamatkan dipindahkan ke beberapa buah hotel dan kem tentera.

Di utara Greece, lebih 300 anggota bomba, lima pesawat dan dua helikopter dikerah untuk menangani situasi itu, kata ketua jabatan bomba Athens, Achille Tzouvaras.

Kebakaran hutan itu dipercayai sengaja dilakukan oleh penjenayah untuk menggeledah kedia­man-kediaman selepas penghuninya melarikan diri. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN