KUALA LUMPUR 30 Julai – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk suku kedua tahun ini dijangka lebih baik dari suku sebelumnya disokong oleh beberapa data utama makro.
Menurut Ketua Ekonomi Kumpulan Ambank, Anthony Dass, pihaknya menjangkakan KDNK bagi suku kedua 2018 boleh berkembang antara 5.5 peratus dan 5.7 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama.
Katanya, KDNK keseluruhan bagi tahun 2018 pula diunjur pada paras antara 5.3 peratus hingga 5.5 peratus.
“Indeks Pelopor (LI) bulan Mei memperlihatkan beberapa tanda-tanda penurunan yang jelas dalam suku ketiga selepas ia jatuh sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun kepada 117.8 mata.
“Sementara itu, Indeks Serentak (IS), yang berkembang 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 133.7 mata pada bulan Mei, menunjukkan bahawa prestasi KDNK suku kedua lebih kukuh berbanding sebelumnya.
“Dengan mengambil kira data makro utama bagi dua bulan pertama suku kedua seperti pengeluaran perindustrian, jualan pembuatan, eksport, import dan pinjaman yang diluluskan, kami yakin bahawa KDNK suku kedua adalah lebih baik dari suku pertama 2018,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Ambank turut mengunjurkan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan kembali normal sekitar 2.75 peratus hingga tiga peratus malah boleh mencapai 3.25 peratus hingga 3.50 peratus menjelang akhir 2019.
“Di bawah pentadbiran Presiden AS sebelum ini, kami mendapati beberapa peningkatan dalam KDNK, untuk itu kami percaya keseluruhan KDNK AS juga dijangka berkembang sekitar 2.8 peratus bagi tahun 2018, dengan jangkaan kenaikan harga sekitar tiga peratus.
“Oleh itu, kami juga mengekalkan unjuran mengenai dua kenaikan kadar faedah AS yang dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini iaitu pada September dan Disember dengan masing-masing naik 25 mata asas,” katanya.










