KBS tubuh jawatankuasa siasat penganjuran triatlon - Utusan Malaysia

KBS tubuh jawatankuasa siasat penganjuran triatlon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 15 Julai – Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran sukan lasak Port Dickson International Triathlon 2018 ekoran seorang peserta mati lemas manakala seorang lagi masih hilang hari ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson sepatutnya mengutamakan aspek keselamatan peserta.

Menurut beliau, kementerian tersebut akan menyiasat sama ada penganjuran pertandingan itu mendapat kebenaran pihaknya atau sebaliknya sebelum tindakan susulan diambil.

“KBS akan mengkaji secara menyeluruh penganjuran pertandingan ini sama ada ia bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak.

“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat mayat sementara mencari seorang lagi yang hilang,” katanya dalam sidang akhbar ketika meninjau lokasi mencari dan menyelamat di Pantai Batu 5 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis serta wakil pihak penganjur.

Dalam kejadian pagi tadi, mangsa yang maut ialah Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang, manakala peserta yang masih hilang merupakan warganegara Hong Kong, Yuan Chi Yuen, 42.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN