KBS akan siasat kematian, kehilangan peserta triathlon - Utusan Malaysia

KBS akan siasat kematian, kehilangan peserta triathlon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON – Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran sukan lasak Port Dickson International Triathlon 2018 selepas seorang peserta mati lemas, manakala seorang lagi masih hilang hari ini. 

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson sepatutnya mengutamakan aspek keselamatan kepada para peserta. 

Sehubungan itu, menurut beliau, kementeriannya akan menyiasat sama ada penganjuran pertandingan itu mendapat kebenaran pihaknya atau sebaliknya sebelum tindakan susulan diambil. 

“KBS akan mengkaji secara menyeluruh berhubung penganjuran pertandingan ini sama ada ia bercanggah dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 atau tidak. 

“Buat masa ini, kita masih menunggu laporan bedah siasat mayat sementara mencari seorang lagi yang hilang,” katanya pada sidang akhbar ketika meninjau lokasi mencari dan menyelamat di Pantai Batu 5 di sini hari ini. 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis serta wakil pihak penganjur.

Dalam kejadian pagi tadi, mangsa yang maut ialah Tharm Wei Wong, 39, dari Pulau Pinang, manakala peserta yang masih hilang merupakan warganegara Hong Kong, Yuan Chi Yuen, 42.

Sebelum itu, Syed Saddiq hadir ke Hospital Port Dickson untuk bertemu rakan Wei Wong bagi mendengar kisah sebelum kejadian. 

“Saya juga telah menghubungi ibu Wei Wong di Pulau Pinang dan menzahirkan simpati atas kejadian yang menimpa anaknya. 

“Siasatan awal mendapati faktor penyebab kejadian lemas itu adalah jarak renangan yang terlalu jauh, ombak dan angin kuat,” ujarnya. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN