MEKAH 26 Julai – Tidak dapat menyesuaikan diri dengan tabiat rakan sebilik, selain hubungan suami isteri yang tegang antara punca kes tekanan emosi paling tinggi dalam kalangan jemaah semasa mengerjakan haji.
Menurut Pengurus Unit Perkhidmatan Kaunseling, Rashidah Ahmad, ada jemaah menggunakan bilik air terlalu lama menyebabkan rakan sebilik yang lain berasa tertekan.
Dalam kes hubungan suami isteri pula katanya, ada suami yang membawa bersama isteri kedua mengerjakan haji dan isteri pertama memohon agar madunya tinggal di bilik berasingan.
Dalam hal itu katanya, pihaknya perlu prihatin dan mengatur bilik lain untuk madu berkenaan agar kedua-duanya dipisahkan.
“Ada suami yang apabila nak ke masjid, isteri pula lambat bersiap, lama-kelamaan timbul perasaan tidak senang antara mereka. Masalah-masalah ini jika tidak dielakkan akan memberi kesan kepada ibadah,” katanya di sini.
Menurut beliau, bagi mengatasi masalah itu jemaah perlu pandai menguruskan diri dan masa agar tabiat rakan sebilik tidak memberi kesan kepada mereka.
Menurut beliau, selain jemaah merujuk masalah ke bahagian kaunseling, pihaknya turut turun padang seperti masuk ke dewan makan dan bertanyakan sendiri kepada jemaah masalah yang mereka atau rakan-rakan hadapi.
Katanya, bahagian kaunseling mempunyai tujuh kakitangan termasuk lima kaunselor berdaftar di Mekah yang sedia memberi khidmat jika jemaah berada dalam tekanan.
Menurutnya, sesi kaunseling dilakukan secara individu selain berkelompok bagi kes jemaah yang sukar membuang tabiat merokok di Tanah Suci.
Katanya, pihaknya juga mengadakan ziarah silaturahim ke bilik-bilik jemaah untuk bertanyakan masalah dan memastikan proses penyesuaian rakan sebilik berjalan lancar.
“Matlamat kami adalah untuk bantu jemaah dari segi keperluan asas.
“Antara perkara pertama yang jemaah minta adalah bagaimana untuk hubungi keluarga di tanah air, jadi petugas kaunseling akan bantu mereka dari segi penggunaan talian telefon,” katanya. – UTUSAN










