Kata sepakat dicapai pertemuan Mohd. Asri, Ramasamy - Utusan Malaysia

Kata sepakat dicapai pertemuan Mohd. Asri, Ramasamy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Julai – Pertemuan antara Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy  yang diaturkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berjaya mencapai persetujuan dalam tiga perkara termasuk keutamaan bagi menjaga keharmonian masyarakat di negara ini.

Menurut Mujahid, kedua-dua tokoh berkenaan antara lain bersetuju untuk menyerahkan isu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dikendalikan oleh pihak berkuasa manakala isu kedudukan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik diputuskan sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Yang lebih penting, (perkara ketiganya) mereka mahu melihat formula yang lebih efektif di masa hadapan bagi menguruskan konflik yang berlaku di dalam masyarakat yang melibatkan pelbagai agama dan kaum.

“Mereka mahu melihat ada satu formula jika ada apa-apa isu, benda itu dibincangkan tanpa perlu dilontarkan dalam perbahasan yang boleh menimbulkan ketegangan atau berpotensi menimbulkan ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi orang tengah dalam pertemuan berkenaan di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Asri merupakan antara pihak yang lantang mempersoalkan Ramasamy kerana didakwa menyokong kumpulan pengganas LTTE di Sri Lanka namun perkara tersebut dinafikan

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu dan mendakwa menjadi sasaran pelbagai pihak kerana mendesak Zakir dihantar pulang ke India.

Dalam pada itu, menurut Ramasamy, beliau menghargai pertemuan yang diadakan berkenaan dan perkara yang telah diputuskan tersebut selain bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak untuk menjaga keharmonian negara.

Bagi Mohd Asri pula, beliau juga menghormati keputusan yang dicapai dalam perbincangan tersebut dan berharap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau mana-mana institusi kerajaan dapat menjadi platform untuk perbincangan yang melibatkan perbezaan agama dan kaum dapat dikendalikan dengan cara terurus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN