DI SANA-SINI orang ramai memperkatakan tentang pengumuman Menteri Pendidikan baharu yang banyak idea, Dr. Maszlee Malik, mengarahkan penukaran warna kasut sekolah daripada putih ke hitam. Peralihan warna kasut sekolah ini akan berlaku dalam tempoh setahun.
Ramailah yang memberi pendapat dan hujah masing-masing. Ada yang menyokong khususnya kaum ibu yang melihat keputusan ini mampu meringankan ‘beban’ hujung minggu mereka selama ini membasuh kasut putih yang mudah kotor.
Tidak kurang juga kaum bapa mengalu-alukannya atas alasan meringankan ‘beban’ dari segi ekonomi keluarga kerana mengurangkan kos membeli kapur kasut dan tidak terlalu mendesak membeli lebih daripada sepasang kasut, seperti sekarang.
Maklumlah kasut putih mudah kotor, kadang-kala kasut dibasuh tidak sempat kering, dibasuh selalu pula cepat koyak, jadi memang perlu ada lebih daripada sepasang.

Dengan kasut hitam, bukan sahaja tidak perlu dibasuh sekerap kasut putih, kalau terlupa membasuh pun tidaklah ‘segan’ sangat, tidak ada yang tahu.
Dengan pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk rumah sukan, pasukan beruniform dan sebagainya, memakai kasut sekolah memang banyak cabaran untuk ‘memelihara’ agar kekal putih.
Lagipun banyak juga pakaian seragam kelab dan persatuan sekolah lengkap berkasut hitam, yang sekali lagi memberi poin kepada penukaran warna kasut sekolah ini dari segi praktikaliti dan penjimatan kos.
Dalam pada ramai yang menyambut baik pengumuman menteri itu, tidak kurang juga yang mengkritik keputusan tersebut antaranya atas alasan akan membuatkan anak-anak sekolah malas, manja dan tidak berdisiplin.
Walaupun penulis bersetuju membasuh kasut sekolah memerlukan kerajinan dan menuntut disiplin, namun mengukur seorang pelajar sekolah itu malas, manja dan tidak berdisiplin hanya daripada keputihan kasutnya bagi penulis, tentu sahaja tidak tepat.
Hal ini kerana, yang memakai kasut putih ke sekolah belum tentu rajin, berdikari dan berdisiplin. Begitu juga sebaliknya yang berkasut putih kusam, tidak semestinya pemalas, anak manja atau budak nakal.
Mungkin sahaja yang kita nampak putih bersih itu kasutnya dibasuh oleh ibu, bapa, kakak, adik atau pembantu rumah. Mungkin juga pemakainya punya berpasang-pasang kasut yang boleh ditukar setiap hari.
Sedangkan yang berkasut putih kusam, pelajar itulah yang memberus kasutnya sendiri, dan mungkin itu sahajalah satu-satunya kasut yang ada. Mungkin juga kasut sekolah putih itu jugalah kasut jalan dan kasut raya.
Ungkapan popular Inggeris menyebut, Don’t judge a book by it’s cover.
Begitulah juga kita tidak wajar menilai peribadi seseorang pelajar itu daripada putih atau hitam kasut yang dipakainya.
Keputusan menukar kasut putih ke hitam yang diumumkan oleh menteri ini walaupun dianggap trivial atau remeh bagi sesetengah pihak, penulis melihatnya sebagai permulaan kepada rentetan perubahan yang akan menyusul dalam sistem pendidikan negara.
Jika diimbau peredaran masa, kasut sekolah sebenarnya telah melalui beberapa fasa transformasi. Dari zaman kasut getah ke era kasut jenama Fung Keong, selepas itu Bata sehingga kini muncul B-First serta bermacam-macam lagi pilihan. Cuma warnanya tetap putih.
Biarpun kasut hitam dibenarkan kepada murid atau pelajar berjawatan tertentu atau dalam sesetengah acara dan aktiviti kokurikulum, pemakaiannya tidak menyeluruh. Majoriti tetap putih.
Lantas apabila menteri membuat pengumuman tentang penukaran itu, dalam satu acara bukan rasmi iaitu dalam forum terbuka, secara mengejut pula tanpa ada desas-desus sebelumnya, wajarlah ramai yang terkejut.
Pihak pembangkang pantas mengkritik menteri kerana memberatkan soal warna kasut sekolah sedangkan banyak lagi isu pendidikan yang lebih penting dan mendesak untuk diberi perhatian.
Pihak penyokong kerajaan pula mengkritik media kerana mengetengahkan berita penukaran kasut putih ke hitam, sedangkan perkara itu tidak sampai 1% disebut berbanding 99% lagi isu diperkatakan oleh menteri semasa muncul dalam forum tersebut.
Dalam pada itu, ada juga pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyokong #teamkasuthitam atas kapasitinya sebagai bapa murid sekolah rendah.
Begitu juga sebaliknya, ada pemimpin yang mesra kerajaan seperti tokoh budaya dan undang-undang, Tan Sri Rais Yatim yang kurang berkenan isu warna kasut sekolah menjadi fokus menteri sedangkan banyak lagi isu yang menurutnya lebih mendesak dan menuntut perhatian segera menteri.
Dalam hal ini, tidak ada siapa yang salah. Semua pandangan betul kerana masing-masing melihat dari perspektif sendiri.
Yang membangkang betul, kerana isu kasut amat kecil jika hendak dibandingkan banyak isu besar yang patut lebih diutamakan. Contohnya, isu disiplin pelajar dan masalah kekurangan guru di bandar yang menurut menteri cukup serius sedangkan terdapat 6,516 graduan pendidikan masih menganggur kerana belum menerima penempatan sejak April lagi.
Dalam pada itu, menteri juga tidak salah kerana mengikut penyokongnya banyak isu disentuh beliau semasa forum itu tidak dilaporkan, sebaliknya isu kasut hitam pula yang menarik perhatian media.
Namun hendak menyalahkan media yang melaporkan arahan penukaran warna kasut sekolah itu, juga tentu sekali salah. Media adalah media. Setiap pengumuman atau arahan baharu adalah bahan berita yang perlu dilaporkan. Bonusnya apabila berita yang dilaporkan itu mempunyai unsur sensasi dan kontroversi yang mampu mencetuskan keterujaan ramai.
Mengikut hemat penulis, pengumuman penukaran warna kasut sekolah oleh menteri bukan keluar secara spontan dari mulut menteri sebaliknya sudah pun difikirkan malah mungkin pernah dibincangkan, setidak-tidaknya secara tidak formal di pihak kerajaan baharu sebelum ini.
Alasan mengambil kira rungutan ibu bapa mungkin hanya satu daripadanya. Penulis percaya akan ada lagi perubahan lain yang akan menyusul. Perubahan warna kasut sekolah ini mungkin nampak remeh dan kecil tetapi akan menjadi titik mula kepada rentetan perubahan yang lebih besar selepas ini.
Sudah ada komen pun, “…jika sudah tukar kasut putih, kenapa tidak tukar warna seragam sekolah sekali?”
Ya, mengapa tidak? Sekarang ini pun putih bukan lagi warna eksklusif di sekolah, ada bermacam-macam pakaian seragam yang perlu ditukar setiap hari. Daripada baju Pendidikan Jasmani, unit beruniform, rumah sukan dan baju T khas aktiviti. Kadang-kala baju sekolah putih dipakai hanya sehari dalam seminggu.
Jadi kepada yang menentang hanya kerana nostalgia kasut putih sinonim dengan seragam sekolah, dan telah menjadi warisan sejak sekian lama, dari generasi ke generasi, mungkin kena imbau semula apa yang pernah kita tulis dalam esei atau karangan pendek ‘wajib’ semasa di sekolah rendah bertajuk, Aku sepasang kasut.

Dalam rumusan penamat esei atau karangan itu, ‘aku’ sebagai kasut lazimnya menerima hakikat yang hayatnya sudah sampai ke penghujung setelah berjasa kepada tuannya sejak sekian lama. Bezanya ketika itu ‘aku’ dibuang kerana sudah koyak dan lusuh tetapi kini, diganti oleh ‘generasi baharu’ kasut hitam.
Seperti yang penulis sebut awal-awal tadi, pengumuman penukaran warna kasut sekolah daripada putih ke hitam oleh menteri, hanyalah langkah pertama.
Sedangkan selama 61 tahun Kementerian Pendidikan di bawah menteri daripada kerajaan yang sama pun dasar-dasar pendidikan silih berganti, tidak mustahil menteri baharu mahu melaksanakan ideanya tersendiri di samping rancangan pembaharuan di bawah kerajaan baharu pula.
Mereka pun hendak juga meninggalkan legasi.










