MENGIKUT tanggapan asas, politik adalah mengenai persepsi dalam seni meraih pengaruh dan kuasa untuk mentadbir.

Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.
Beberapa pemimpin kita dalam politik mengalami slings and arrows of outrageous fortune, mungkin seperti dikatakan oleh Hamlet yang jelas dan tepat, “To be or not to be? – that is the question – itu persoalannya”.
Apabila ditimpa musibah politik, akibatnya amat teruk seolah-olah membenarkan pepatah – apabila hujan, ia mencurah. Kritikan secara tidak langsung dalam mesej aplikasi WhatsApp atau Facebook terhadap pemimpin tertinggi boleh membawa nahas.
Dalam politik, apa-apa yang mungkin berlaku itu boleh berlaku. Seperti tangan panjang jam, naik dan turun dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi. Sama ada ya atau tidak, ia akan berbunyi bila tangan pendek dan panjang berpusing lagi.
Dari satu sudut, boleh dikatakan bahawa kehidupan seorang menteri umpama roda di dalam roda yang saling berputar. Roda mana yang berpusing dan arah mana sekalipun, beliau tertakluk kepada undang-undang yang sama seperti yang dikenakan kepada jiran yang terdekatnya atau seorang pembuat teh tarik.
Sudah tentu, apabila seorang pembuat teh tarik didakwa kerana jenayah, ia tidak begitu menarik perhatian orang ramai, tetapi sebaliknya jika dakwaan itu terhadap ahli pentadbiran atau seseorang pegawai tinggi dalam pentadbiran awam.
Mempolitikkan banyak perkara dan isu-isu adalah perkara biasa sebagai seorang ahli politik dalam usaha untuk menyampaikan sesuatu perkara demi kebaikan rakyat dan sudah tentu untuk kebaikan politik diri.
Ada di antara para menteri lebih kelihatan sifat-sifat politik dan lebih lantang daripada yang lain. Kelihatan dalam kalangan mereka ada yang mempunyai bakat semula jadi, sementara yang lain seolah-olah tidak sesuai dengan bidang mereka.
Ada di antara mereka mempunyai personaliti yang hebat dan mempunyai tarikan fizikal manakala yang lain berperibadi lemah dan tidak meyakinkan.
Apapun kategori menteri itu, yang penting adalah apabila seseorang telah menjadi ahli politik, ia akan kekal sebagai ahli politik.
Caranya melambai semasa keluar kereta rasmi, gaya berucap atau bercakap – semua ini dan beberapa ciri lain membentuk keperibadian politik seorang menteri.
Menangkis tohmahan, propaganda dan psywar adalah cabaran yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli politik. Hujah-hujah yang diterampilkan mesti dekat di hati.
Mendiang Bob Hope, seorang penghibur Hollywood pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka. Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.
Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak.
Sebaliknya, seorang yang ekstrem dalam politik, perlu mempunyai ciri diplomasi yang lebih baik. Tidak ada sesiapa yang mahu ke neraka, tetapi cara seorang ahli politik berbicara membuat pendengarnya ingin untuk ke sana. Ada mengatakan ini sebagai satu penipuan. Ahli-ahli politik memanggilnya diplomasi.
Ahli politik yang licik dan bersahaja adalah juga seorang pelakon handalan. Kehandalan berlakon inilah kadang-kadang membawa ahli politik ke mahkamah jenayah.
Lazimnya, menteri adalah sebuah istilah seni untuk menggambarkan pegawai-pegawai kanan yang mengetuai kementerian dan jabatan-jabatan di dalam lingkungan kerajaan yang luas.
Pada zaman Kesultanan Melaka, menteri sebenarnya adalah sebahagian dari anggota majlis eksekutif Sultan dan beliau mestilah seorang yang bijak berpolitik. Disebabkan ketika itu tiada pilihan raya, kelayakan beliau tertakluk kepada keupayaan peribadi seseorang untuk meyakinkan Sultan bahawa beliau mempunyai kebijaksanaan dan kewibawaan seorang pemimpin.
Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:
Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok kedua pandai.
Perkataan-perkataan bijak dan berani merupakan ciri-ciri kelayakan untuk menjadi seorang menteri, selain daripada sifat setia dan jujur. Nilai yang lain adalah kesanggupan seorang menteri meletakkan rakyat dan negara sebelum dirinya sendiri.
Istilah politik melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sebenarnya walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari hal ini. Elemen pengorbanan tetap ada dalam perjuangan. Apa-apa yang diambil dari sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang disumbangkan dalam bentuk khidmat.
Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ dari sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Bolehlah dikatakan bahawa ini semacam karma politik yang sebenar.
Realitinya dalam politik semasa negara ini, kira-kira 45 peratus pengundi dalam lingkungan umur 21-45 tahun telah membuktikan mereka kurang menerima gaya politik yang stereotaip. Salah satunya adalah kerajaan lebih tahu apa yang baik dan semua perkara datang dari atasan sahaja – yang mana fahaman politik ini berlawanan dari golongan dewasa berumur 50-70 ke atas.
Golongan muda di Malaysia tidak lagi berfikiran konvensional dalam pendekatan dan kefahaman hidup. Mereka kurang mempedulikan nilai merdeka, apa itu Rukun Negara atau politik ‘pak turut’ boleh lakukan untuk mereka.
Kini dengan cara hidup siber, Malaysia terlalu kecil untuk mereka. Mereka menuntut hak-hak asasi manusia sejagat. Mereka memulakan perkara-perkara yang dulunya bapa-bapa mereka ambil sambil lewa. Mereka tidak lagi menulis surat. Mereka berkomunikasi dengan menggunakan WhatsApp, Facebook dan Twitter.
Inilah cabaran yang harus diharungi mana-mana ahli politik dalam era Malaysia Baharu ini.









