TANGKAK 27 Julai – Seorang lelaki yang dicekup polis membabitkan kes pemerasan dua minggu lalu akhirnya terkantoi lagi apabila dipercayai turut membawa dadah bernilai RM310,000 dalam keretanya ketika ditahan.
Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, suspek sebelum ini dicekup di Johor Bahru bagi kes terbabit sebelum pemeriksaan lanjut polis terhadap kereta jenis Wolkswagen Passat menemukan dadah terbabit.
“Suspek berusia 43 tahun dicekup bersabit kes pemerasan yang dilapor di Bukit Gambir, di sini. Polis seterusnya membuat pemeriksaan semula kereta terbabit di sini sebelum mendapati terdapat ruangan khas yang diubah suai untuk membawa dadah.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan sejumlah 7.03 kilogram syabu, tiga gram ketamin dan tujuh biji pil ekstasi diruangan antara tempat duduk belakang dan bonet,” katanya dalam sidang akhbar di sini, sebentar tadi.
Tambah Mohad Idris, suspek mempunyai tujuh rekod lampau masing-masing empat melibatkan dadah manakala tiga lagi kes jenayah dan senjata api.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. -UTUSAN ONLINE










