KUANTAN – Seorang kanak-kanak maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandungnya di Permatang Badak di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai hospital selepas tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, ibu kandung mangsa berusia 29 tahun dikatakan membuat panggilan kecemasan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) memaklumkan anak lelakinya tidak sedarkan diri di rumah.
“Sebuah ambulans dikejarkan ke rumah mangsa bersama pasukan perubatan yang cuba membuat rawatan awal dan memberi bantuan pernafasan namun gagal sebelum kanak-kanak itu dibawa ke HTAA.
“Sebaik tiba di HTAA, mangsa disahkan meninggal dunia. Pemeriksaan fizikal dijalankan mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam pada beberapa anggota badan mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Kor Kadet Polis Pahang 2018 di sini hari ini. – K! ONLINE










