KUALA LUMPUR 18 Julai – Mendakwa ‘suara’ mereka dinafikan, tiga atlet menembak negara yang digugurkan daripada Program Podium tahun lalu Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi berhasrat bertemu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Muslifah berkata, mereka berharap suara mereka didengari oleh menteri baharu itu setelah kes saman mereka terhadap Institut Sukan Negara (ISN) pada Oktober 2017 ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tanpa didengari terlebih dahulu.
Jelasnya, mereka telah menerima surat penolakan saman pada 6 Julai lalu, dengan ketiga-tiganya sedia untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kami berharap Syed Saddiq dapat mendengar suara atlet seperti kami. Sebelum ini kami cuba berjumpa dengan menteri terdahulu Khairy Jamaluddin namun gagal.
“Kami hanya mahu nama kami dibersihkan. Karier kami telah berakhir sejak digugurkan. Minat kami masih menebal untuk terus berkhidmat untuk negara,” jelasnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Nur Suryani bagaimanapun tidak menghadiri sidang akhbar berkenaan kerana mempunyai urusan penting lain.
Tambah Muslifah, mereka hanya mahu menjelaskan situasi sebenar kepada Syed Saddiq bagi mewakili atlet yang tertindas..









