ALOR SETAR 3 Julai – Walau apa pun alasannya, kerajaan Pakatan Harapan diminta supaya tidak berdalih kononnya kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersil yang berkuatkuasa bulan ini tidak akan memberi impak kepada orang ramai.
![]() |
|
SYED MOHD JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
|
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, keputusan itu dipercayai akan memberi kesan terhadap kadar inflasi negara dengan kesannya bakal dirasai dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Walaupun majoriti pengguna tidak akan mengalami kenaikan tarif secara langsung, namun pengguna akan mengalami kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
“Kos pengeluaran akan meningkat dan perkara itu bergantung kepada kepentingan atau berapa banyak jumlah elektrik yang digunakan bagi menghasilkan produk berkenaan. Bagi menampung kos tersebut, peniaga mungkin akan menaikkan harga jualan dan disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya berdalih kononnya kenaikan ini tidak akan memberikan kesan terhadap kebanyakan orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Syed Johan menambah, kenaikan harga itu tidak mustahil akan menjadi lebih ‘parah’ setelah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan tidak lama lagi.
“Oleh yang demikian kerajaan harus mengkaji semula kenaikan tarif ini supaya rakyat tidak terkesan dengannya.
“Jangan lupa dulu semasa menjadi pembangkang, mereka cukup lantang membantah kenaikan caj elektrik serta kenaikan harga barang. Oleh itu jangan kini setelah bergelar kerajaan, mereka hendak ambil sikap tidak peduli pula terhadap keluhan rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE












