PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu pelaksanaan teknologi pembayaran tanpa tunai yang digunakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam program bantuan MyKasih dikaji.
Wan Azizah merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, beliau telah meminta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Rose Lena Lazemi untuk menjalankan kajian berhubung perkara itu serentak dengan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Saya sangat berharap ia (pembayaran tanpa tunai) yang digunakan oleh NGO MyKasih menjadi satu inovasi proses untuk mempercepatkan pemberian bantuan dan mengurangkan kos.
“Inovasi proses ini memerlukan kreativiti serta pembabitan pemilik proses bagi mengenalpasti peluang-peluang penambahbaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM di sini hari ini.
Menurut Wan Azizah, jangan terkongkong dengan proses dan acuan sedia ada sebaliknya gunakan kreativiti untuk mewujudkan proses-proses yang dapat memudahkan pengguna dalam perkhidmatan kita.
“Maklum balas dari pelanggan proses harus dinilai dengan teliti di mana teknik-teknik seperti penambaikan proses, penjuruteraan semula proses dan pemikiran reka bentuk boleh digunakan untuk tujuan ini.
“Kita perlu mencari penjimatan melalui inovasi proses untuk menjimatkan perbelanjaan serta mengurangkan masa pelaksanaan proses,” katanya.
Tambah beliau, projek-projek pembangunan perlu menekankan kualiti dan keberfungsian sesuatu kemudahan yang dibina selain cermat dalam mengurangkan kos kerana seperti kita sedia maklum negara kini dibebankan dengan hutang yang besar. – Bernama










