Kaitan pemilihan PKR dan jawatan Timbalan Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Kaitan pemilihan PKR dan jawatan Timbalan Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Julai – Jawatan Timbalan Perdana Menteri kini menjadi kerusi tumpuan selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding sebagai Presiden parti itu dalam pemilihan bulan depan.

Dekan Pembangunan Pelajar, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohammad Fuad Othman berkata, semua pihak menganggap ini merupakan langkah pertama Anwar mengukuhkan kedudukannya dalam parti sebelum mengambil alih kerajaan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, persoalan yang timbul sekarang adalah di manakah Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) untuk kembali semula ke dalam Kabinet menggantikan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Sekiranya Dr. Wan Azizah memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding di Parlimen Pandan, langkah ini agak berisiko kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri terpaksa dikosongkan sementara Anwar mengambil alih.

“Dan sekiranya beliau ingin mengambil alih tempat anaknya, Nurul Izzah di Parlimen Permatang Pauh, agak merugikan kerana Nurul Izzah masih muda dan sedia berkhidmat. Jadi kemungkinan besar beliau akan ambil kerusi PKR yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini.

Wanita PKR menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan dalam mereka menerima baik tawaran Anwar, parti tetap perlu menghormati perlembagaan dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.

Sementara itu, penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri seperti dalam perancangan Pakatan Harapan tidak punya pilihan selain daripada bertanding jawatan Presiden untuk mendapat mandat parti.

“Wan Azizah ditafsirkan tidak akan pertahan jawatan dan keputusan ini boleh dibaca kerana beliau tidak akan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Anwar bertanding Presiden bukan merupakan isyarat bahawa beliau mahu menjadi Perdana Menteri lebih awal tetapi jika beliau tidak bertanding maka pemilihan seterusnya mungkin dah melewati tempoh dua tahun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, fungsi ‘mengisi kekosongan Anwar’ yang membuatkan Wan Azizah menceburkan diri ke dalam dunia politik nampaknya akan diguna pakai buat kali terakhir.

“Kedudukan Wan Azizah dalam PKR dan kerajaan dilihat sebagai ‘mengisi kekosongan’ sementara menunggu Anwar yang sering berdepan dengan halangan untuk memimpin PKR.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN