PETALING JAYA – Seorang pemandu teksi terkejut apabila menemui seekor ular sawa sepanjang 1.5 meter di bahagian enjin kenderaannya di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Kayu Ara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, pemandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu berhenti di stesen minyak berkenaan bagi mengisi minyak gas asli (NGV) dengan membuka bonet hadapan.
Jurucakap Bomba berkata, namun ular sawa tersebut tidak menunjukkan sebarang tindak balas agresif dan hanya berlingkar di bahagian enjin.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.43 pagi dan sepasukan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara di sini dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati ular tersebut sedang berlingkar di bahagian enjin kereta dan anggota bomba mengeluarkannya dengan menggunakan batang yang panjang untuk menahannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pemandu teksi tersebut tidak menyedari kehadiran ular tersebut dan ketika membuka bonet hadapannya, ular itu sedang berlingkar di bahagian enjin kenderaannya.
“Ia berjaya dikeluarkan tanpa sebarang tindak balas agresif.
“Ular berkenaan telah dilepaskan ke kawasan yang lebih selamat,” ujarnya. – K! ONLINE










