PUTRAJAYA 17 Julai – Jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) setahun berjumlah RM21 bilion, manakala jumlah kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM44 bilion jelas menunjukkan GST lebih membebankan rakyat, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurutnya, sekiranya dibandingkan dengan hasil kutipan GST, Kerajaan Pakatan Harapan dapat memulangkan semula RM23 bilion kepada rakyat daripada hasil kutipan GST untuk tempoh setahun.
“Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding GST apabila SST hanya menjana RM21 bilion berbanding RM44 bilion yang dikutip dari GST.
“Kenyataan palsu yang disebarkan oleh UMNO bahawa sistem cukai SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem cukai GST adalah tidak masuk akal sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Guan Eng semalam mengumumkan bahawa SST akan dimulakan semula pada bulan September ini dan dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini. – UTUSAN ONLINE










