Jumlah kematian penduduk awam Afghanistan tinggi - Utusan Malaysia

Jumlah kematian penduduk awam Afghanistan tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL 15 Julai – Jumlah penduduk awam yang terkorban dalam konflik jangka panjang Afghanistan mencapai rekod tertinggi dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sera­ngan militan dan pengebom berani mati merupakan penyumbang utama peningkatan jumlah korban itu.

Sebanyak 1,692 jumlah kematian yang dicatatkan dalam tempoh itu menyaksikan peningkatan satu peratus berbanding tahun lalu dan yang paling tinggi sejak Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) mengumpul rekod tersebut pada 2009.

Sementara itu, 3,430 orang cedera dalam peperangan, menurun kepada lima peratus daripada tempoh yang sama tahun lalu, jelas laporan itu.

Jurucakap UNAMA memberi­tahu, jumlah kematian tinggi dicatatkan meskipun gencatan senjata dilaksanakan oleh pasukan keselamatan Afghanistan dan Taliban pada bulan lalu yang sebahagian besarnya disepakati oleh kedua belah pihak.

Gencatan senjata selama tiga hari pertama Aidilfitri memberi kelegaan kepada pasukan ke­selamatan dan Taliban untuk meraikan perayaan itu selain harapan keamanan akan berlaku selepas berdepan dengan konflik hampir 17 tahun.

Namun, gencatan senjata dicemari dengan dua serangan pengebom bunuh diri di wilayah Nangarhar yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.

Taliban pula menolak permintaan kerajaan untuk melanjutkan gencatan senjata dan kembali ke medan perang serta mengabaikan perbincangan dengan Kabul bagi mengakhiri konflik.

Wakil Khas Setiausaha Agung PBB ke Afghanistan, Tadamichi Yamamoto berkata, gencatan senjata menunjukkan pertempuran boleh dihentikan dan orang awam tidak lagi perlu menanggung beban perang.

“Kami menyeru semua pihak untuk merebut semua peluang mencari penyelesaian yang aman dan ini adalah cara terbaik untuk melindungi semua orang awam,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN