SUNGAI PETANI 30 Julai –Buku keluaran Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd (UP&D) mendapat sambutan pengunjung apabila lebih 1,000 naskhah berjaya dijual sempena Pesta Buku Kedah 2018 yang berakhir hari ini di Village Mall di sini.
Pengarah Eksekutif UP&D, Rozita Yusoff berkata, pihaknya berpuas hati dengan sambutan diberikan oleh orang ramai berkunjung ke gerai itu dan membeli buku selepas pelancaran dilakukan pada hari rabu lalu.
“Bila ada pesta begini, mereka dapat membeli pelbagai bahan bacaan, termasuk buku sejarah, nobel dan lain-lain hasil keluaran UP&D.
“Apa yang menarik, ramai dalam kalangan warga emas turut hadir untuk memilih dan membeli buku kegemaran masing-masing dan harga buku yang dijual di sini, lebih murah berbanding di tempat-tempat lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK), Shahizan Affendi Zakaria.
Rozita berkata, langkah diambil oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK) dengan menganjurkan peserta buku seumpama ini selama lima hari bermula Rabu lalu, adalah baik sekali dalam usaha menggalakkan orang ramai gemar dengan amalan membaca itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Kesenian, Pembangunan Usahawan serta Badan Bukan Kerajaan negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris ketika merasmikan pesta buku itu berkata, melalui program begini, ia berupaya untuk melahirkan lebih ramai generasi muda kepada suka amalan membaca buku.
“Usaha begini boleh melahirkan generasi muda berpengetahuan tinggi serta berjaya di dalam sebuah negara maju.
“Sebenarnya, hanya orang yang mencintai buku sahaja dapat merasai sesuatu bila diadakan pesta buku seumpama ini. Perpustakaan awam yang ada di kampung dan di bandar berupaya mengubah pemikiran masyarakat bila amalan suka membaca terus diberi perhatian,” katanya.
Selain jualan buku, pengunjung berpeluang menghadiri perbincangan bertajuk Bicara Tokoh Ilmuan Membina Budaya Ilmu oleh beberapa orang tokoh ilmuan di negara ini, termasuk Dr. Shaari Isa, Hassan Baseri Budiman dan Prof. Dr. Md. Amin Abdul Rahman Al-Jarumi dengan moderator Datuk Dr. Mohamad Azmie Zakaria dari Pusat Ilmuan Darulaman (PID).
Hampir 100,000 pengunjung dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang hadir bagi memeriahkan pesta buku itu.










