PONTIAN 18 Julai – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah ini akan membina semula jambatan Parit Wak Suradi, Benut yang runtuh pada 12 Julai lalu akibat dilalui oleh sebuah lori yang membawa jentera pengorek.
Jurutera JPS daerah, Radzuan Mamat berkata, jalan tersebut menjadi laluan utama bagi kira-kira 1,500 penduduk di beberapa buah kampung seperti Parit Hassan, Parit Kerimon, Parit Stan dan Permatang Duku untuk ke pekan Benut dan bandar Batu Pahat.
“Jabatan akan menggunakan peruntukan yang ada sebelum pihak kontraktor diminta untuk membayar ganti rugi kerana jambatan tersebut penting termasuk bagi membawa hasil pertanian penduduk.
“Tindakan pemandu lori yang membawa jentera penggorek melalui jambatan tersebut amat dikesali kerana telah menyebabkan kesulitan kepada orang ramai kerana terpaksa menggunakan laluan alternatif,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Radzuan berkata, bagi mengatasi masalah tersebut daripada berulang, pihaknya akan memasang palang had muatan di atas jambatan baharu bagi mengingatkan pemilik kenderaan berat.
“Hanya kenderaan berat kurang daripada 10 tan dibenarkan melalui jambatan tersebut bagi mengelakkan masalah sama dan orang ramai perlu mematuhi peraturan itu,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap ketua kampung dan pemimpin masyarakat menasihatkan pemilik kenderaan terutamanya pemandu lori supaya mematuhi had muatan yang dibenarkan.










