Johor teliti permintaan Melaka - Utusan Malaysia

Johor teliti permintaan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 24 Julai – Johor akan meneliti terlebih dahulu permintaan Melaka untuk meningkatkan kapasiti bekalan air mentah ke negeri itu biarpun tidak berdepan masalah ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, mengikut perjanjian asal yang dimeterai antara kedua-dua negeri itu pada 10 Ogos 1991, Johor bersetuju membekalkan sebanyak 35 juta gelen air mentah sehari kepada Melaka.

Menurutnya, perjanjian yang tamat pada 2090 itu boleh dikaji semula sekiranya Melaka memerlukan lebih banyak air mentah berbanding yang disalurkan ketika ini.

“Jika terdapat keperluan untuk membekalkan tambahan kuantiti air mentah ke Melaka, Johor sedia menawarkan bekalan tambahan berdasarkan harga yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Namun, bekalan tambahan tersebut haruslah tertakluk kepada kemampuan Sungai Muar untuk membekalkan kuantiti tambahan tersebut selain melihat kemampuan semasa Johor untuk membekalkannya.

“Lagipun kita juga perlu bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk musim kemarau dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Perjanjian Tambahan Air Kedua Antara Johor dan Melaka di sini, hari ini.

Pemeteraian perjanjian antara kedua-dua negeri itu melibatkan Sungai Muar di Grisek, Tangkak ke Empangan Durian Tunggal, Melaka disempurnakan Osman dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd. Sofi Abdul Wahab serta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan Melaka, Datuk Azmi Rohani serta Datuk Roslan Ibrahim.

Terdahulu, Adly dalam ucapannya meminta Johor mempertimbang agar meningkatkan bekalan air mentah kepada 55 juta gelen sehari bagi menampung keperluan semasa di Mela­ka.

Pada majlis sama, Osman mengumumkan pengekalan harga air mentah yang dibekalkan ke Melaka pada kadar 50 sen untuk setiap ribu gelen bagi tempoh 10 tahun bermula 12 Ogos depan.

“Pengekalan harga air mentah ini diputuskan bagi menstabilkan lagi hubungan antara ke­dua-dua negeri setelah rundingan sebelum ini meneliti segala perinician yang dikemukakan oleh Melaka agar mereka tidak terbeban dalam melunaskan bayaran royalti air mentah tersebut,” ujarnya.

Pada 1991, Melaka membayar 20 sen bagi setiap ribu gelen air mentah dan meningkat kepada 30 sen pada 1998, diikuti 40 sen pada sepuluh tahun kemudian sebelum tambahan 10 sen lagi dalam perjanjian lima tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN