‘Jeneral’ Malaysian Tigress kembali - Utusan Malaysia

‘Jeneral’ Malaysian Tigress kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT pertama kali dalam tempoh hampir setahun, skuad hoki wanita negara kembali diperkuatkan dengan kepulangan ‘jeneral’ bahagian tengah, Noor Hasliza Md. Ali menghadapi lima siri persahabatan di Brisbane, Australia bermula Isnin hingga 29 Julai ini.

Kali terakhir Hasliza yang genap usia 29 tahun kelmarin, menyarung jersi Malaysian Tig­ress sewaktu meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada hujung Ogos tahun lalu sebelum terpaksa ‘berehat’ buat sementara waktu kerana hamil anak pertama.

Hasliza yang sudah bersama skuad senior sejak usia 14 tahun, kembali ‘turun padang’ menyer­tai sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sejak hujung bulan lalu selepas melahirkan cahaya mata pertamanya itu pada April.

Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyifatkan peluang tetap ada buat Hasliza ke Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan tetapi ia bergantung pada pres­tasinya sepanjang siri Jelajah Australia.

“Walaupun baru melahirkan anak tetapi saya tidak melihat Hasliza kekok dalam permai­nannya. Pengalaman luasnya pada peringkat antarabangsa serta keupayaannya mengemudi bahagian tengah amat penting buat kami.

“Saya percaya, berdasarkan pengalaman luasnya, dia tiada masalah untuk mendapatkan tahap permainan terbaiknya semula dalam tempoh yang cepat. Lima perlawanan di Australia nanti adalah cabaran buat diri­nya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, skuad negara tidak dapat menggunakan khidmat penyerang berusia 18 tahun, Nur Amirah Syakiran Zulkifli di Australia kerana enggan mengambil risiko terhadap kecederaan hamstring dialaminya untuk Sukan Asia 2018 nanti.

Malaysian Tigress yang akan berlepas ke Australia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) esok dijadualkan menentang Akademi Sukan Queensland (QAS) di Pusat Hoki Brisbane untuk lima perlawanan sebelum pulang ke tanah air pada 30 Julai ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN